Sepak raga
Sepak raga merupakan sejenis
permainan yang menggunakan bola rotan. Ia telah wujud
sejak 600 tahun dahulu pada Zaman Kesultanan Melaka pada abad ke-15 M. Ia
bertujuan untuk menguji kecekapan permain untuk menyepak, menanduk, mendada
atau melutut bola raga dan menghalangnya daripada jatuh ke tanah.[1]
Pada masa ini sepak raga dimainkan apabila
ketiadaan jaring. Sepak raga dimainkan dalam bulatan, manakala sepak takraw mengadukan dua
pasukan yang dipisahkan oleh jaring, menggunakan gelanggang seperti dalam
permainan badminton. Sepak raga juga telah digantikan dengan bola lain
sekiranya ketiadaan bola takraw, dikenali sebagai menimang bola dalam bulatan.
Sejarah
Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, selain dimainkan oleh
golongan bangsawan, rakyat jelata juga menggemari permainan ini. Dalam sejarah
Melayu menceritakan tentang Raja Muhammad, putera Sultan Mansor Shah Muhammad
tertanggal tanjaknya akibat terkena bola raga tendangan Tun Besar.
Pada alaf ini, permainan sepak takraw adalah
amat popular dan di kenali ramai, bukan sahaja di negara kita bahkan di
negara-negara lain. Sepak takraw yang asalnya dikenali sebagai sepak raga
lengkung atau kandang adalah permainan tradisi pusaka yang dimainkan oleh
raja-raja melayu sejak sebelum tahun 1478 lagi. Asal-usul yang sebenarnya
permainan ini tidak dapat diberikan kerana telah banyak sejarah termusnah
akibat perang dunia kedua. Dengan berlalunya masa dan semakin meluas minat
terhadap permainan ini diseluruh Malaya, maka pada akhir tahun 1945 satu
peraturan baru lagi moden dengan menggunakan jaring telah diwujudkan oleh
pemain-pemain di Pulau Pinang. Dengan terciptanya cara ini, maka tidak
dinafikan lagi bahawa Pulau Pinanglah tempat asal bermulanya sepak raga
menggunakan jaring yang kini dikenali sebagai sepak takraw. [2]
Bagi mempamerkan buat pertama kalinya cara
permainan yang baru ini, di atas usaha diantaranya En. Mohamed bin Abdul
Rahman, En. Abdul Hamid Mydin dan En. Yacob Syed.
Maka pada awal tahun 1946 satu permainan pertunjukkan diantara pasukan Jalan
Hatin dan pasukan Patanai Road telah diadakan di Gelanggang Hospital
Haiwan, Pulau
Pinang dengan
sambutan yang begitu meriah walaupun di anggap ganjil. Dari Pulau Pinang dan
dalam tahun 1946 juga sepak raga jaring ini telah merebak ke Alor Star, ke Kampung Baru di Kuala Lumpur dan seterusnya
ke Singapura.
Sejak perkembangan tersebut pasukan demi
pasukan telah ditubuhkan dan pada 25 Jun 1960 Persekutuan Sepak Raga Malaya
telah dirasmikan di suatu persidangan yang dipelopori oleh Persatuan Sepak Raga
Pulau Pinang. Persekutuan yang julung-julung kali di tubuhkan ini telah
melantik Y. Bhg Tan Sri Khir Johari sebagai Yang Dipertua. Tindakan segera
telah diambil oleh persekutuan tersebut ialah menggubal dan menyusun
undang-undang sepak raga jaring yang ada pada masa itu oleh sebuah jawatankuasa
kecil yang terdiri daripada wakil-wakil Setiausaha Agong PSM sekarang.